Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

1 TIPS: UJIAN MEMANDU

Thursday, December 03, 2009

Assalamualaikum wbr...

Ujian Memandu Kereta

Hahaha...Ada sesiapa yang baru nak belajar memandu kereta atau ada antara anda yang akan mengambil ujian memandu di JPJ? Hari ini, Eb! ingin berkongsi some tips ujian memandu. Semoga berjaya!


Ujian Jalan Raya

Persediaan Awal

Tekan pedal klac sepenuhnya bagi mengenalpasti kedudukan yang sesuai. Selaraskan tempat duduk agar pergerakan kaki adalah bebas dan selesa.
Pastikan gear berada dalam keadaan bebas.
Betulkan cermin pandang belakang dan cermin sisi di kiri dan kanan. Pastikan imej di dalam cermin memaparkan sebarang objek di belakang dengan jelas.
Cuba lampu isyarat. Pastikan lampu isyarat kiri dan kanan berfungsi dengan baik.
Cuba pengelap cermin. Pastikan pengelap bergerak normal.
Pakai talipinggang keledar.

Mulakan Perjalanan

Hidupkan enjin.
Tekan pedal klac serapat mungkin.
Masuk gear satu. Gerakkan gear ke arah bahagian atas paling kiri.
Angkat pedal klac perlahan-lahan.
Tekan pedal minyak sedikit. Selaraskan tekanan klac dan tekanan minyak agar kereta bergerak dengan lancar.
Apabila kelajuan mencecah lebih 10 kmj, tukar ke gear dua.
Tekan pedal klac serapat mungkin.
Tarik gear ke bahagian bawah paling kiri.
Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
Apabila kelajuan mencecah lebih 25 kmj, tukar ke gear tiga.
Tekan pedal klac serapat mungkin.
Tolak gear sedikit agar berada di tengah iaitu di kedudukan bebas.
Seterusnya, tolak ke atas di bahagian tengah untuk menukar ke gear tiga.
Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
Ulangi proses penukaran gear mengikut kelajuan yang bersesuaian.
Apabila kenderaan bergerak perlahan, disyorkan untuk menukar ke gear dua.

Berhenti

Tekan pedal klac serapat mungkin.
Tekan pedal brek perlahan-lahan. Jangan tekan terlalu kuat dengan cepat, kereta akan berhenti mengejut.
Bebaskan gear.
Tarik brek tangan ke atas sepenuhnya.

Mula Perjalanan Setelah Berhenti

Tekan pedal klac serapat mungkin.
Masukkan gear satu.
Picit butang brek tangan dan tekan ke bawah.
Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
Tukar gear mengikut kelajuan yang bersesuaian.

Keluar Dari Simpang

Pasang lampu isyarat sama ada ingin ke kiri atau ke kanan.
Lihat cermin belakang dan cermin sisi.
Palingkan sedikit ke bahagian sisi bagi mengesahkan sudut pandangan kerana masih terdapat blindspot.
Pastikan tiada kenderaan yang menghalang atau menggunakan jalan ketika itu.
Tekan pedal klac serapat mungkin.
Masukkan gear satu.
Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
Ulangi proses penukaran gear mengikut kelajuan yang bersesuaian.

Amaran

Sentiasa berada di lorong yang ditetapkan. Ditegah sama sekali keluar dari garisan yang telah tentukan.
Jangan menekan pedal minyak terlalu kuat, biasakan dengan kelajuan terlebih dahulu.
Jangan mengenggam stereng dengan kuat, pegang dengan selesa dan biarkan sendi tangan bergerak bebas. Pegang stereng mengikut kedudukan jarum jam pukul 9 (tangan kiri) dan pukul 3 (tangan kanan).
Penggunaan klac sangat penting. Setiap pergerakan memerlukan tindakan dari penggunaan klac.
Penggunaan lampu isyarat juga penting. Pastikan pengguna lain tahu arah mana yang anda ingin ambil.
Untuk persimpangan, pastikan isyarat diberi semasa kenderaan berada 50 meter dari simpang.

Ujian Kemahiran Memandu

Ujian Menaiki Bukit


Bergerak sehingga ke garisan penanda putih.
Tekan pedal klac sepenunya dan bebaskan gear. Tunggu sehingga mendapat kebenaran.
Setelah dibenarkan, matikan pendingin hawa kereta untuk mendapatkan lebih kuasa pikap.
Tekan pedal klac sepenuhnya dan masuk gear satu.
Angkat pedal klac dan tekan pedal minyak perlahan-lahan.
Pastikan kereta bergerak dalam keadaaan lurus.
Setelah berada dikaki bukit, mata perlu difokuskan ke bahagian sisi untuk mendapatkan kedudukan yang sejajar dengan cermin sisi bagi menentukan kedudukan tayar berada di atas garisan kuning semasa berhenti.
Selaraskan agar cermin sisi berada sedikit belakang dari tiang kedua di atas bukit.
Setelah berada di kedudukan yang tepat, tekan brek sepenuhnya.
Bebaskan gear dan tarik brek tangan sepenuhnya.
Angkat tangan dan tunggu arahan penguji.
Setelah dibenarkan, tekan pedal klac sepenuhnya dan masuk gear satu.
Tekan pedal minyak sehingga meter rpm berada di atas angka 3.
Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan meter akan jatuh ke angka 2. Kereta berkeadaan seolah-olah turun sedikit. Tetapkan kedua-dua kaki pada kedudukan ini.
Picit butang brek tangan dan tekan brek tangan ke bawah. Kereta akan bergerak perlahan-lahan menuruni bukit.
Tetapkan kedua-dua kaki pada kedudukan ini.
Setelah hampir dengan tanda garisan, tekan brek untuk berhenti.
Keluar untuk membuat ujian letak kereta.

Ujian Letak Kereta (Parking)

Pastikan kereta lebih rapat ke arah kiri. Jarak ruang antara tiang kiri dengan kereta ialah 2 kaki dan tiang kanan dengan kereta 4 kaki.
Pandu terus sehingga hujung kereta sama paras dengan tiang terakhir di sebelah kanan.
Duduk secara normal, palingkan muka ke arah kiri dan lihat sama ada tiang ketiga berada di dalam cermin kecil di bahagian kiri belakang kereta.
Selaraskan kedudukan kereta dengan bergerak ke hadapan atau mengundur ke belakang sehingga tiang tersebut kelihatan berada di tengah-tengah cermin kecil kereta.
Setelah mendapat kedudukan yang tepat, bebaskan gear.
Pusing stereng ke arah melawan jam sehingga habis agar tayar hadapan mengarah ke kiri.
Tekan pedal klac sepenuhnya dan masukkan gear undur.
Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan pandang cermin sisi di sebelah kanan.
Lihat melalui cermin dan pastikan badan kereta melepasi tiang keenam sebelum berhenti.
Pusing stereng mengikut jam sebanyak dua kali agar tayar hadapan lurus dengan badan kereta.
Undur lagi sehingga tayar belakang berada di atas garisan kuning petaktempat letak kereta. Gunakan cermin sisi kanan atau lihat secara terus melalui tingkap. Setelah berada di atas garisan kuning, tekan pedal klac dan brek serentak.
Pusing stereng mengikut jam sehingga habis agar tayar hadapan kereta mengarah ke kanan.
Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan undur sehingga badan kereta berjarak setengah kaki dari tiang petak letak kereta. Tekan brek untuk berhenti.
Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
Pusingkan stereng melawan jam sehingga habis untuk melaraskan kereta agar berada selari dengan petak letak kereta.
Pastikan kedudukan kereta dengan melihat kedudukan tiang atau melihat keluar melalui tingkap.
Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
Angkat tangan dan lihat cermin belakang sekiranya penguji berada dibelakang atau hadapan jika sebaliknya.
Tunggu arahan dari penguji.
Setelah dibenarkan, pusing stereng melawan jam sehingga habis agar tayar hadapan mengarah ke kiri.
Tekan pedal klac dan masuk gear undur.
Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan undur sehingga badan kereta berjarak setengah kaki dari tiang letak kereta. Tekan brek untuk berhenti.
Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
Pusing stereng mengikut jam sehingga habis agar tayar hadapan mengarah ke kanan.
Tekan pedal klac dan masuk gear satu.
Angkat pedal klac dan keluar perlahan-lahan. Apabila cermin sisi sebelah kiri selari dengan tiang rujukan pertama tadi, pusing dengan pantas melawan jam agar kereta membelok ke arah kiri.
Keluar untuk membuat ujian 3 point turn.

Pusingan 3 titik (3 point turn)

Masuk dari tanda anak panah masuk dengan perlahan.
Apabila telah mencecah tiang yang kedua, pusing mengikut jam sehingga habis agar kereta membelok sepenuhnya ke arah kanan sambil menekan pedal klac. Pastikan stereng ditetapkan agar kereta hanya membelok ke kanan sahaja.
Tekan brek dan berhenti di hadapan tiang.
Tekan klac dan bebaskan gear.
Pusing stereng melawan jam sehingga habis agar tayar berpusing mengarah ke kiri.
Tekan pedal klac sepenuhnya dan masukkan gear undur.
Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan undur sehingga belakang badan kereta berada hampir dengan garisan putih. Tekan brek untuk berhenti.
Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
Pusing stereng mengikut jam sebanyak tiga kali agar tayar berpusing mengarah ke kanan.
Tekan pedal klac sepenuhnya dan masuk gear satu.
Angkat pedal klac perlahan-lahan dan keluar mengikut arah tanda anak panah dan kawal stereng agar tidak melanggar tiang.
Ujian selesai.

Semoga apa yang senaraikan di sini dapat membantu bakal-bakal pemandu. Pandu cermat, jiwa selamat.



Related Posts by Categories



1 comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top