Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 MENARIK: Berhutang dan Kesan Jangka Panjang

Monday, December 21, 2009



HUTANG DAN KEMUDHARATANNYA


Islam adalah agama kemajuan dan kesejahteraan ummah dan manusia. Berjaya di dunia dan sejahtera di akhirat. Maka sesiapa yang berpegang teguh dengan ajarannya dan mengikuti pimpinannya, terjaminlah hubungan baiknya dengan Allah, erat pulalah tali silaturrahim sesama manusia.

Dalam melayari lautan hidup didapati nasib seseorang tidak sama. Malah berbeza-beza, ada yang kaya, maka senanglah dan bahagialah.


Manakala yang miskin susahlah dan menderitalah sekalipun masing-masing telah bertungkus-lumus, berhempas-pulas berusaha mencari rezeki, kerana nasib baik dan buruk terletak pada kuasa dan pentadbiran Allah S.W.T. berdasarkan berbagai-bagai hikmah dan rahsia. Ini jelas difahami dari firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 32 yang bermaksud:

"(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhan mu (Wahai Muhammad, dan seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengah yang lainnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengah yang lain, (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari setengah yang lain. Dan rahmat Tuhan mu (meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari semata-mata kebendaan dan keduniaan yang mereka kumpulkan".

Oleh yang demikian, terdapat berbagai-bagai cara, jalan dan kaedah yang dilalui oleh manusia untuk mendapatkan keselesaan hidup. Dan satu dari cara itu ialah berhutang. Berhutang sekalipun, Islam mengharuskannya bagi sesiapa dari umatnya yang terdesak. Namun, perbuatan (berhutang) itu tidaklah diharuskan dengan mudah, malah perlaksanaannya perlulah kepada beberapa syarat seperti yang terkandung di dalam al-Quran, firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 282:

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, dan janganlah dia mengurangjan sesuatupun dari hutang itu".

Oleh kerana berhutang itu suatu yang boleh menjejaskan dan mencemarkan maruah serta boleh menjatuhkan air muka dan peribadi. Maka di bawah ini diperturunkan beberapa hal dan perkara yang perlu atau wajib atas sese-orang yang berhutang supaya berfikir panjang, dengan harapan dia tidak akan melakukannya kecuali apabila benar-benar atau yang paling terdesak.

Pertama:

Hutang adalah hak seseorang yang tertentu dan hak wajib dipulangkan dengan sempurna dan ia selalunya ditentukan masa penjelasannya (bayarannya), maka wajib ditepati janji itu tanpa berlengah-lengah sebab Rasulullah S.A.W. mengingatkan bahawa perbuatan melengah-lengahkan adalah satu kezaliman, sebagaimana sabdanya:"Orang yang melengah-lengahkan penjelasan hutang sedang dia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian adalah se-orang yang zalim".

Kedua:

Roh seseorang yang berhutang sehingga dia meninggal dunia dan tidak sempat menjelaskan hutangnya, maka rohnya tergantung-gantung di antara langit dan bumi (tidak menuju ketempat yang mulia) hinggalah dibayarkan balik hutang itu. Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:"Roh seorang mukmin yang berhutang jika hutangnya tidak dijelaskannya, maka tergantung-gantunglah ia di antara langit dan bumi, yang bererti tersiksalah roh itu hingga dibayarkan hutangnya itu".

Ketiga:

Sebab itu, sesiapa dari umat Islam yang meninggal dunia wajib disegerakan pembayaran hutangnya sebelum dibahagi-bahagikan harta pusaka peninggalannya.

Keempat:

Oleh kerana siksaan ke atas roh yang telah meninggal dunia (jika belum dijelaskan bayaran hutangnya), Rasulullah S.A.W. yang amat mengasihi setiap umatnya. Baginda sanggup membayarkannya sepertimana sabdanya, yang bermaksud: "Aku lebih utama dari diri setiap mukmin terhadap diri sendiri, maka barangsiapa yang meninggalkan hutang, akulah yang akan membayarkannya. Dan barangsiapa yang meninggalkan harta pusaka maka ahli warisnya yang berhak ke atas harta itu".(HR Bukhari dan Muslim).

Kelima:

Nabi S.A.W. yang mengasihi umatnya telah mengajar kita dengan doa supaya umatnya tidak terkena beban hutang. Sepertimana doanya:


Maksudnya:

“Ya Allah, Ya Tuhan ku, aku berlindung dengan Mu dari bebanan hutang yang berat dan dari kekerasan orang yang kejam”.


Keenam :

Tersebut juga dalam Hadith Rasulullah S.A.W. yang lain, mengatakan bahawa seorang yang telah mati, bila Rasulullah S.A.W. diminta menyembahyangkan, Baginda enggan melakukannya setelah diberitahu bahawa si mati itu ada hutang yang belum
diselesaikan, lalu menyuruh seorang sahabatnya yang hadir menyembahyangkannya.

pengajaran dari keaiban dan keburukan budaya berhutang itu ialah:

1. Amalan berhutang, jika dilakukan sekali, ia akan melarat sehingga menjadi kebiasaan (budaya), sebab orang yang berhutang terasa amat mudah atau senang memperolehinya tanpa memikirkan kewajipannya untuk membayar balik hutang itu dengan sempurna dan menepati tempohnya.

2. Orang yang berhutang, jika dia seorang yang kurang menjaga maruah atau tidak bersifat malu, maka dia tidak akan merasa apa-apa seperti segan silu berhadapan dengan kenalan atau sesiapa yang dia rasakan mudah untuk memberikannya pinjaman atau hutang itu.

3. Orang yang memiliki sifat-sifat mulia seperti pemalu, penyegan dan tinggi maruahnya. Pasti dia akan membayar segala hutangnya, tidak akan melarikan diri dari orang tempatnya berhutang dan tetap menjaga pergaulan dengan baik.

Oleh yang demikian, sebelum terjebak dalam perangkap budaya berhutang, umat Islam hendaklah belajar berdikari serta berusaha menghindari budaya suka berhutang. Sebab teramat banyak keburukannya seperti renggang hubungan silaturrahim, tidak disukai masyarakat atau kita sendiri hilang kawan. Dengan itu, sama-samalah kita jauhi budaya suka berhutang tanpa sebab yang wajar dan wajib, Islam mengajar kita supaya hidup dengan kadar sederhana mengikut kemampuan masing-masing.

Wallahua'lam..


Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top